Thursday 30 October 2014

September - Oktober 19 - 29 , 2014

    Bersama Nenek Hajah Habibah binti
    Do Raman @ Haji Abd Rahman,
    Ibu , Hajah Bainah Haji Hussin dan
    Maklang Hajah Sharifah Haji Hussin
    gambar 1954.

SEPTEMBER  KE HUJUNG OKTOBER 2014

1.
Perjalanan harian yang padat setelah tiga bulan meninggalkan Tanah Semenanjung. Kuliah Semester 1/ 2014 melonggokkan nota kuliah dan selakan buku rujukan lama dan baru. Detik Sejarah Seni dan Estetika 1 & 11 saling bertindan,  menapis dan memilah teori dan pengalaman lama dan baru. Buku bertumpuk silang dan wajah-wajah pengkaji,  penulis, pelukis dan mahasiswaku bertumpang lapis.

Bagai terlintas longgokan batu pejal, susunan tangga
membeku bisu di celah kelopak anglia pagi
 nundi laman pasar, dan Socrates dengan piala
 mereguk 'hermlock' akhir, 

Kuliah sejarah pertama ooh Athenia  . Sudah ku buka helaian
catatan Republica Plato berganti Poetic Aristotles.
Legakah mata mahasiswa ku di siang membayang resah. Bersambung untuk menyuci diri dengan akal budi
dengan agakan seni tidak semata meniru
tetapi mencipta bentuk daripada pengalaman realiti. 
Petunjukdaripada Ilahi!

Silang tarikh itupun tiba
Menangguh kuliah sempena seminggu
 Cuti Pertengahan Semestar UMS.
izinkan diri melangkah pulang 
ke kebun kelahiran walau semua hilang
di pandangan.
Kecuali tapak rumah kelahiran!

2.
Setelah meninggalkan Negeri Bawah Bayu dalam titis hujan , tanah lembah dan banjir di Kampung Dambai, Menggatal, mengutip buah bambangan dan tuhau di pasar Tamu Menggatal, ada lakaran saling berlompatan. Kasih yang tidak pernah hilang dalam lipatan. Kasih alam yang menyirat dan sekarang  tumbuh dan menjulang kasih ilmu kesenian rakyat harus kucatat. Dengan kesan berselirat ooh Kasih Bonda - Kampung Paya Kami!

23 Oktober,  
Kerabat DBP - Wilayah Tengah menyambut
acara Wicara Kasih Bonda. Puisi lama tumbuh daripada kenangan hidup si Siti Kecil dengan silatan gaya hidup tahun1950han  dijelaskan oleh Dr Aris Arif  yang mengkaji," Perpaduan Etnografi dan Puisi dalam KaryaSiti Zainon Ismail" judul buku yang pernah kukarang lebih 10 tahun "Kasih Bonda - Puisi Etnografi". Ungkap Dr Aris Arif, ' Karya etnografi sesungguhnya bukan merupakan upaya untuk menghadirkan kembali realiti seperti adanya semula, melainkan menghasil teks tentang realiti berdasarkan apa yang diperoleh etnografer dalam pengamatannya'

Itulah dunia Si Siti Kecil Siti 50 tahun lalu, di Kampung Banda Dalam yang diteroka oleh nenek moyang. Kini sedang bergelut dengan nilai urbanisansi bila sungai semakin kumuh, palang besi jambatan berkarat tidak berganti, lorong kecil akan barganti LRT, rumah di laman dimusnahi  akan berganti kondo 30 tidak mampukah Siti bertahan sendiri bila orang kampung juga ramai tidak peduli.Terima kasihPAKSI yang mengerti dan seniman budayawan ilmuawan yang masih setia peduli!

***
bersambung  ke 3
Kertas Kerja Puisi Seni Rupa
dalam  Sidang Kemuncak Penulis Malaysia
anjuran ITBM-Pena- DBP
di Jitra Kedah
25-27 Otk 2014




Wednesday 10 September 2014

GELOMBANG NEGERI BAWAH BAYU ( GELOMBANG NBB)


GELOMBANG NBB 2014.1


 AWAL tahun 2014, cerita lama berulang lagi apabila saya benar-benar diusik sapa oleh Prof Madya Jamal.." Kak datanglah ke kampus kami, kami perlukan... serius ni, Dekan, NC sudah dikhabar. Sekolah Seni di sini perlukan tunjuk ajar seni dari guru kami...." hati  nuraniku berbelah bagi..
........................................

 Setelah selesai bertugas di UKM pada Disember 2005...saya tidak menoleh lagi. Barang-barang, buku segala khazalah ilmu harus dikeluarkan. Mana yang boleh kutinggalkan , untuk di hadiah kepada kawan-kawan pensyarah atau pelajar atau Pustaka  saya sisihkan. Jamuan perpisahan sudah selesai diadakan oleh staf dan kaki tangan pejabat PBKKM . Di hari terakhir , 20 Disember 2005, pintu pejabatku diketuk dari luar. Saya buka....masya Allah , terpempan wajah Dekan FSKK di sebalik pintu. Prof Sam,  
dengan beberapa helai borang , tercegat menghulur borang berkenaan..kudengar ucapan lirih bahasanya ' " Siti jangan pergi, isi borang ini sambung kontrak 2 tahun lagi, anda diperlukan di kampus ini..."

Dapatkah saya memekik dengan mengatakan TIDAAAAK!

Bermulalah tugasku sebagai Profesor Kontrak 1-2 tahun....Tapi di sebaliknya mula terdengar suara risik,
 " Alaa dia sengaja tidak mahu sambung tugas, tapi pilih pencen....gaji pencen dapat + gaji Profesor Kontrak!" 

Masya Allah hatiku tidak pernah terdetik begitu....akhirnya saya terima kontrak setahun saja, cepat harus keluar...kalau orang sudah mula iri!!!!

Tetapi Prof Sham di ATMA pula melambai " Non...ayuh sambung di ATMA, hidupkan kerja Tekstil Busanamu? "

Melangkah pula ke ATMA untuk kontrak setahun dan boleh disambung kalau diperlukan. Tetapi kerenah kampus, dengan makin hilangnya sahabat akrab yang memahami cara kerjaku juga sudah berkurang, baiklah ku majukan langkah ke depan...

2007
Cukuplah berjabatan sebagai pengajar di kampus. Dr Sakinah di USM bersungguh mempelawa untuk menyambung bakti di sana, saya menjawab dnegan setengah pilu ttapi tegar, " Biarlah saya masuk ke Alam MUSAFIR MELANGKAH BEBAS KE PELUSUK BUMI ALLAH SWT.  Kerja  Musafir pun bermula ! Namun tetap memenuhi udnangan DBP, BSLN, RA Gallery, Madrasah  Seni Tarbiah...dengan kerja seni Warisan Kampung tetap saya dampingi. Insya Allah!

 Bermulalah gelombang kebebasan insan yang merindui keindahan Alam Ciptaan yang maha Esa...
Kembara pulang kampung mula saya lakukan. Membina pondok di kampung kelahiran ayah, di Laman Nyang Galoh;  bertanam kelapa sawit (haaaa ingin jadi peladang)..balik ke Jogja, singgah ke Suelewah , masuk ke Palembang, Jambi...

Kerja menulis yaaa....saya mulakan dengan cerita kanak-kanak, rindukan kasih Nenek hingga hirlah Bijak Si Katak Bijak . Tanpa diduga, saya tiba ke Masjid Ke Tiga milik Kekasih Allah, setengah tidak percaya, saya tiba bersolat waktu Subuh di Masjid Al Aqsar pada tahun 2011. Allah memberi pintu terbuka dengan indahnya meredah sungai di kampung ceruk rantau, dibawa-Nya juga cahaya indah dengan lautan terbentang dan terusan sempit di Venice, ke Gunung Putih, dibwa pula oleh ITBM ke Bologna Internation Book Fair, ke Tokyo International Book Fair untuk  promosi dan pameran Si Katak Bijak. Kembali ke Puncak Merapi, ke air hitam sungai kebun nipah di ceruk rantau tanah air......Tetap Azan menyentap nubariku... Pintu Cahaya ...Iman mu cukupkah ? - Sabarkah hati dan fikir bila digelodak musibah, negeri kampung diasak pembangunan..ya hanya menulis kusampaikan resah itu... Hingga lahir Kasih Bonda, membuka pustaka di Madrasah Tarbiah... Rumah Kasih Uwan lahir ketika  jiwa diasak oleh pembangunan Kota...ketika sedang menghirup kopi putih di Muzeum Bola Sepak  Manchister terdengar suara meledak di tanah air...." Kak pulang....Kampung kita akan dilupuskan!!!"  Haaah ? Lahirlah  Rumah Kasih Uwan. Luka calar mencakar...bila kerabat kampung ramai yang memilih jadi jutawan dan tidak menjenguk rumah waris ibunda!

..........................

9 Ogos 2014 :  Kami ke  Labuhan Batu Hampar @ Kelang  menghantar Naza ku belayar meredah Laut China Selatan menuju ke Negeri Bawah Bayu!

12 Ogos 2014 :  berkembanglah sayap cenderawasih, awan bersih, kadang bergelombang, terlihat lautan....terhamparlah  hatiku......ya Aku kembali  ke sini, setelah 30 tahun aku tiba  lagi !
Alhamdulillah!


10 September 2014
Fakulti Kemanusian, Seni dan Warisan 



Thursday 22 September 2011

MENULIS ITU MELUKIS DALAM SENI RUPA MELAYU

@SZI , " Menulis" , akrilik atas kulit kepah, 1997
ISTILAH SENI RUPA semakin dipinggirkan. Usaha yang dilakukan oleh Allahyarham Seniman Negara Datuk Syed Ahmad Jamal dengan pameran dan menghasilkan buku RUPA DAN JIWA adalah kerja sahih yang disahkan oleh Naib Cancelor UM..Prof Diraja Ungku Aziz. Buku ini menjadi rujukan di lakangan pelajar seni. Tetapi pengkaji , penulis, pengajar masih bertingkah lidah. Sekejap Seni Tampak, sekejap Seni Rupa, Seni Halus. Tengku Sabri dengan tegas mengukuhkan seni rupa  dalam kajin  dan tulisannya Seni Rupa Malaysia (SERUM) . Nah sekarang muncul istilah Seni Visual. Balai  Seni Lukis Negara pun menjadi Balai Seni Visual Negara. Sekarang baru nak diaktakan. Jadi akta penubuhan Galeri Seni Negara tahun 1957 sudah kemana?

Saya ingin mengimbau makna 'menggambar' atau melukis reka bentuk seni  ukir dalam membina  istana Melaka, seni hias pakaian termasuk 'menulis bunga kain'..ini tercatat dengan sahih dalam teks klasik Melayu yang memerikan keindahan budaya pada abad ke 15 M, Antara contoh dikutip:
1) Pakain Puteri  Wi Kesuma di Tanjung Pura, '...berkain segara kuning bertulis madu memancar...' (teks Sejarah Melayu)
2) ' ... Maka ditulis oleh Hang Nadim pada kertas bunga yang seperti kehendak hatinya. Telah dilihat oleh penulis Keling yang banyak itu. maka sekeliannya hairan tercengang-cengang melihat kelakuan tangan Hang Nadim menulis itu...Demikianlah bunga yang hamba kehendaki (Sejarah Melayu) ..

Dua contoh kutipan di atas, dengan mudah merangkap makna menulis dan melukis itu sedarjat.Istilah melukis belum digunakan pakai sehingga abad ke 17. Sedangn penulis disebut pujangga sudah menghasilkan tulisan ilmu agama dan sejarah. Dengan mengguna bahan yang sama, tinta dan kertas, maka penulis yang menghasilkan kitab (buku) mengguna terma yang sama unuk memerikan tentang kerja melukis  seperti yang ktia fahami sekarang. Begitu juga pemerian tentang rupa dan  bentuk, teknik menghasilkan kerja seni rupa, mengukir, menetas, menjahit, menyulam, memahat,  pun berulang dalam teks klasik, ketika memerikan tingkah penghasilan seni budaya. Termasuk menata,  menyusun peralatan di petarakana , cara memakai sarung, kain panjang, ikat destar. Semuanya membawa makna menukis dan menulis bunga yang indah untuk dipakai sebagai sepersalinan dengan reka sorak, bunga dan warna.

Maka dalam adat dan adab, bayangkan kalau lukisan budaya ini masih diakui,'..kalau masuk ke dalam (istana) jika tiada kain berpancung..bersebai, tiada dapat masuk ... berkeris di belakang masuk ke dalam ia dirampas oleh penunggu pintu...' ini bererti tidak mudah menerima masuk orang luar ke dalam rumah budaya....
anda yang melukis
pencetak, pewarna, pengarca
ya anda sedang menulis
melakar dan melukis
tinta, kertas , tanah, kayu, pasir, air , kanvas ada di tanganmu!
Inilah Seni Rupa , wajah dan jiwa kita!!!

Mari kita nikmati, tulisan pelukis tentang seni rupa Melayu (seni ukir), oleh Latif Mohidin
" Ukiran Angin Tenggara " - buat pengukir tua di pedalaman,

Versi 1:
Fajar sutera menjalar ke bumi
warna dewangga pecah di ufuk
bertaburlah penuh manik keemasan
lingkar sulur menyala di bumbung

sekali lagi pada saat subuh ini
sisik dan surai sinar berhamparan
di sepanjang gugusan pulau-pulau
sekali lagi kami siap rela menduga
simpang - siur anyaman erat kehidupan'

Sajak, puisi moden ini ada versi 2..bagaiman sikap latif, emnulis puisi bukan sekadar mencatat. Tapi, menulis, merenung, perkataan dan ayat akan disimak, sebelum dihantar kepada penerbit.
(lih : CATATAN Latiff Mohirin , 2011:204)

Gombak
22 Sept 2011

 

Wednesday 21 September 2011

DATA CERPEN DAN PUISI PIAZZA di SPAGNA

Gondola di Terusan Venezia 2000

Mana dulu
lakaran tinta atau tulisan di buku nota? Kau bertanya.
Jawabku : kedua-dua serentak kulakukan.
Sejenak melakar, sejenak mencatat...


Tugas penulis pun bermula. Di atas meja ada pena, ada komputer
maka di tangan editor  Siti Melorinda kerja membaca, membaiki ejaan, membetul ayat ku yang tergantung. Selesai mula mencari ahli lay out dan pencetak....keluar modal sendiri. Jualpun sendiri...
sudah ada koleksi buku cerpen dan puisi berlatar kota Roma, Venezia??? Lengkap dengan lakaran/sketsa. Sesuai untuk pelukis, pelajar seni bina, muzik di samping falsafah sastera budaya dunia.


Kandungan
Tiga  cerpen (saling berkaitan )
1. Potret Azalea
2. Bulan Madu diPiazza d' Spagna
3. Konserto musim bunga

Sinopsis cerpen - dengan latar Venizia dan Roma.

Cerpen pertama memang ditulis tanpa pengalaman ke tempat latar.
Saya juga menampilkan latar tanah air dengan dua watak utama Azalea  dan Nik. Mereka bersahabat dan mula terjalin kasih sayang. Tetapi Nik jurusan seni lukis, ditolak oleh ayah  Azalea - pelukis tidak ada masa depan. Mereka berpisah. Nik mengirim berita dari Roma, Napoli...Azalea tetpa setia, bercita untuk menyambung pelajaran ke roma.

Cerpen kedua " Bulan Madu Piaza d' Spagna' - Azalea berhasil menyambung kuliah Master of Architecture di Venezia. Di sini kembali bertemu dengan Nik yang sudah berkasih dengan  Veera. Tetapi Veera maklum kerana cinta Nik masih setia dengan cinta Azeala...

Petikan cinta berbunga kembali antara dua watak in:
'... Dia tersentak menyedari dirinya gadis Melayu, tetap Melayu walau di mana dia berada. Dengan santun mengucapkan terima kasih atas hidangan yang disediakan Nik - sup kacang pis, ikan panggang salmon, salad buah-buahan campuran zaitun-bijiran jagung, hirisan timun Eropa, tomato cerio, nasi kukus basmati dan manisannya , Nik menyediakan lempeng gulung jem strawberi dan seteko teh limau.
      " Selamat makan sayang..." Ungkapan Nik itu memang tanpa diduga. Tetapi bukankah itu ungkapan biasa orang Eropah dan Nik memang sudah memasuki budaya negara itu. Dan tanpa sengaja juga  Azalea terlontar ungkapan yang sama.
     " Terima kasih sayang, makanan dan hidanganmu cantik sekali".
     " Lea , sudah lama aku menunggu detik ini, kenapa lambat kau datang ? "
     " Dan kau sendiri tidak pulang"
     " Aku menunggu mu di sini  " 
     " Aku juga menanti kepulanganmu " 
     " Oh takdir, dan kita boleh bersama di sini bukan? "
     " Bersama?"
     " Ya sepanjang kau menyelesaikan kuliahmu? Minggu depan 
kau cuti musim panas bukan? Masih ingat Piazza d'Spagna yang
selalu kuceritakan dulu? "
     " Piazza d' Spagna "
     " Ya tempat seluruh seniman berbulan madu?"
     " Niiiikk!"
     " Sayang jangan malukan aku lagi seperti dulu. Aku Nik,
bukan Amron"
      " Veera?"
      " Dia tahu hatiku, cintaku, Azalea, bertahun kau selalu di hatiku!"
       Inikah negara impian dan Tuhan telah memakbulkan pertemuan mereka kembali? Didengarnya juga bisikan Nik,
       " Kita , kini sedang menikmati  apa yang kita impikan"
       " Minum sayang, kopi espresso kek coklat?
       " Aku mahu kopi kampung saja sayang" 
       " Ah , Nik!" 
       " Aiskrim ? "
       " Ya, the ball saja !"
(hal 31-33_)

Nota: Di mana kau Nik? bertahun hilang??? Kerap juga aku mengintai Tanjung Periuk, kapal berlabuh, laut dan langit biru berganti kelabu....!    

Terbitan Galeri Melora @ RM 12.00
fb > Galeri Melora Pendidikan

22 Sept 2011- 29 Sept 2011


Tuesday 13 September 2011

PAKAIAN CARA MELAYU, UKM, 2006/2009

Gambar hak cipta @ koleksi Galeri Melora

PAKAIAN adalah aspek budaya yang membuktikan kewibawaan adat istiadat wilayah budaya Melayu. Istilah Pakaian Cara Melayu pertama kali disebut pada abad ke 16 merupakan  kesinambungan pola asas yang berkembang di istana Kerajaan Melayu Lama > dari Palembang sebelum muncul di  Melaka pada zaman keagungan di Kepulauan Melayu. Pemakaiannya tidak berkembang di Tanah Melayu dan Sumatera sahaja malah ke Brunei dan Sulawesi.

Istilah baju kurung juga sudah di sebut dalam teks Melayu Klasik. Buku ini menampil data rujukan teks (Sejarah Melayu, Hikayat Hang Tuah, Hikayat Pasai-Aceh, Misa Melayu, Salasilah Melayu Riau dll)...dan kajian bandingan etnografi  di beberpa wilayah Melayu Nusantara. 

Terbitan UKM, 2006 - 2006 -2008 @ RM 60
untuk mendapatkan buku ini boleh emek ke > galerimelora@yahoo.com/perhatian Bulan Baiduri/fb 

Monday 12 September 2011