Thursday 22 September 2011

MENULIS ITU MELUKIS DALAM SENI RUPA MELAYU

@SZI , " Menulis" , akrilik atas kulit kepah, 1997
ISTILAH SENI RUPA semakin dipinggirkan. Usaha yang dilakukan oleh Allahyarham Seniman Negara Datuk Syed Ahmad Jamal dengan pameran dan menghasilkan buku RUPA DAN JIWA adalah kerja sahih yang disahkan oleh Naib Cancelor UM..Prof Diraja Ungku Aziz. Buku ini menjadi rujukan di lakangan pelajar seni. Tetapi pengkaji , penulis, pengajar masih bertingkah lidah. Sekejap Seni Tampak, sekejap Seni Rupa, Seni Halus. Tengku Sabri dengan tegas mengukuhkan seni rupa  dalam kajin  dan tulisannya Seni Rupa Malaysia (SERUM) . Nah sekarang muncul istilah Seni Visual. Balai  Seni Lukis Negara pun menjadi Balai Seni Visual Negara. Sekarang baru nak diaktakan. Jadi akta penubuhan Galeri Seni Negara tahun 1957 sudah kemana?

Saya ingin mengimbau makna 'menggambar' atau melukis reka bentuk seni  ukir dalam membina  istana Melaka, seni hias pakaian termasuk 'menulis bunga kain'..ini tercatat dengan sahih dalam teks klasik Melayu yang memerikan keindahan budaya pada abad ke 15 M, Antara contoh dikutip:
1) Pakain Puteri  Wi Kesuma di Tanjung Pura, '...berkain segara kuning bertulis madu memancar...' (teks Sejarah Melayu)
2) ' ... Maka ditulis oleh Hang Nadim pada kertas bunga yang seperti kehendak hatinya. Telah dilihat oleh penulis Keling yang banyak itu. maka sekeliannya hairan tercengang-cengang melihat kelakuan tangan Hang Nadim menulis itu...Demikianlah bunga yang hamba kehendaki (Sejarah Melayu) ..

Dua contoh kutipan di atas, dengan mudah merangkap makna menulis dan melukis itu sedarjat.Istilah melukis belum digunakan pakai sehingga abad ke 17. Sedangn penulis disebut pujangga sudah menghasilkan tulisan ilmu agama dan sejarah. Dengan mengguna bahan yang sama, tinta dan kertas, maka penulis yang menghasilkan kitab (buku) mengguna terma yang sama unuk memerikan tentang kerja melukis  seperti yang ktia fahami sekarang. Begitu juga pemerian tentang rupa dan  bentuk, teknik menghasilkan kerja seni rupa, mengukir, menetas, menjahit, menyulam, memahat,  pun berulang dalam teks klasik, ketika memerikan tingkah penghasilan seni budaya. Termasuk menata,  menyusun peralatan di petarakana , cara memakai sarung, kain panjang, ikat destar. Semuanya membawa makna menukis dan menulis bunga yang indah untuk dipakai sebagai sepersalinan dengan reka sorak, bunga dan warna.

Maka dalam adat dan adab, bayangkan kalau lukisan budaya ini masih diakui,'..kalau masuk ke dalam (istana) jika tiada kain berpancung..bersebai, tiada dapat masuk ... berkeris di belakang masuk ke dalam ia dirampas oleh penunggu pintu...' ini bererti tidak mudah menerima masuk orang luar ke dalam rumah budaya....
anda yang melukis
pencetak, pewarna, pengarca
ya anda sedang menulis
melakar dan melukis
tinta, kertas , tanah, kayu, pasir, air , kanvas ada di tanganmu!
Inilah Seni Rupa , wajah dan jiwa kita!!!

Mari kita nikmati, tulisan pelukis tentang seni rupa Melayu (seni ukir), oleh Latif Mohidin
" Ukiran Angin Tenggara " - buat pengukir tua di pedalaman,

Versi 1:
Fajar sutera menjalar ke bumi
warna dewangga pecah di ufuk
bertaburlah penuh manik keemasan
lingkar sulur menyala di bumbung

sekali lagi pada saat subuh ini
sisik dan surai sinar berhamparan
di sepanjang gugusan pulau-pulau
sekali lagi kami siap rela menduga
simpang - siur anyaman erat kehidupan'

Sajak, puisi moden ini ada versi 2..bagaiman sikap latif, emnulis puisi bukan sekadar mencatat. Tapi, menulis, merenung, perkataan dan ayat akan disimak, sebelum dihantar kepada penerbit.
(lih : CATATAN Latiff Mohirin , 2011:204)

Gombak
22 Sept 2011

 

Wednesday 21 September 2011

DATA CERPEN DAN PUISI PIAZZA di SPAGNA

Gondola di Terusan Venezia 2000

Mana dulu
lakaran tinta atau tulisan di buku nota? Kau bertanya.
Jawabku : kedua-dua serentak kulakukan.
Sejenak melakar, sejenak mencatat...


Tugas penulis pun bermula. Di atas meja ada pena, ada komputer
maka di tangan editor  Siti Melorinda kerja membaca, membaiki ejaan, membetul ayat ku yang tergantung. Selesai mula mencari ahli lay out dan pencetak....keluar modal sendiri. Jualpun sendiri...
sudah ada koleksi buku cerpen dan puisi berlatar kota Roma, Venezia??? Lengkap dengan lakaran/sketsa. Sesuai untuk pelukis, pelajar seni bina, muzik di samping falsafah sastera budaya dunia.


Kandungan
Tiga  cerpen (saling berkaitan )
1. Potret Azalea
2. Bulan Madu diPiazza d' Spagna
3. Konserto musim bunga

Sinopsis cerpen - dengan latar Venizia dan Roma.

Cerpen pertama memang ditulis tanpa pengalaman ke tempat latar.
Saya juga menampilkan latar tanah air dengan dua watak utama Azalea  dan Nik. Mereka bersahabat dan mula terjalin kasih sayang. Tetapi Nik jurusan seni lukis, ditolak oleh ayah  Azalea - pelukis tidak ada masa depan. Mereka berpisah. Nik mengirim berita dari Roma, Napoli...Azalea tetpa setia, bercita untuk menyambung pelajaran ke roma.

Cerpen kedua " Bulan Madu Piaza d' Spagna' - Azalea berhasil menyambung kuliah Master of Architecture di Venezia. Di sini kembali bertemu dengan Nik yang sudah berkasih dengan  Veera. Tetapi Veera maklum kerana cinta Nik masih setia dengan cinta Azeala...

Petikan cinta berbunga kembali antara dua watak in:
'... Dia tersentak menyedari dirinya gadis Melayu, tetap Melayu walau di mana dia berada. Dengan santun mengucapkan terima kasih atas hidangan yang disediakan Nik - sup kacang pis, ikan panggang salmon, salad buah-buahan campuran zaitun-bijiran jagung, hirisan timun Eropa, tomato cerio, nasi kukus basmati dan manisannya , Nik menyediakan lempeng gulung jem strawberi dan seteko teh limau.
      " Selamat makan sayang..." Ungkapan Nik itu memang tanpa diduga. Tetapi bukankah itu ungkapan biasa orang Eropah dan Nik memang sudah memasuki budaya negara itu. Dan tanpa sengaja juga  Azalea terlontar ungkapan yang sama.
     " Terima kasih sayang, makanan dan hidanganmu cantik sekali".
     " Lea , sudah lama aku menunggu detik ini, kenapa lambat kau datang ? "
     " Dan kau sendiri tidak pulang"
     " Aku menunggu mu di sini  " 
     " Aku juga menanti kepulanganmu " 
     " Oh takdir, dan kita boleh bersama di sini bukan? "
     " Bersama?"
     " Ya sepanjang kau menyelesaikan kuliahmu? Minggu depan 
kau cuti musim panas bukan? Masih ingat Piazza d'Spagna yang
selalu kuceritakan dulu? "
     " Piazza d' Spagna "
     " Ya tempat seluruh seniman berbulan madu?"
     " Niiiikk!"
     " Sayang jangan malukan aku lagi seperti dulu. Aku Nik,
bukan Amron"
      " Veera?"
      " Dia tahu hatiku, cintaku, Azalea, bertahun kau selalu di hatiku!"
       Inikah negara impian dan Tuhan telah memakbulkan pertemuan mereka kembali? Didengarnya juga bisikan Nik,
       " Kita , kini sedang menikmati  apa yang kita impikan"
       " Minum sayang, kopi espresso kek coklat?
       " Aku mahu kopi kampung saja sayang" 
       " Ah , Nik!" 
       " Aiskrim ? "
       " Ya, the ball saja !"
(hal 31-33_)

Nota: Di mana kau Nik? bertahun hilang??? Kerap juga aku mengintai Tanjung Periuk, kapal berlabuh, laut dan langit biru berganti kelabu....!    

Terbitan Galeri Melora @ RM 12.00
fb > Galeri Melora Pendidikan

22 Sept 2011- 29 Sept 2011


Tuesday 13 September 2011

PAKAIAN CARA MELAYU, UKM, 2006/2009

Gambar hak cipta @ koleksi Galeri Melora

PAKAIAN adalah aspek budaya yang membuktikan kewibawaan adat istiadat wilayah budaya Melayu. Istilah Pakaian Cara Melayu pertama kali disebut pada abad ke 16 merupakan  kesinambungan pola asas yang berkembang di istana Kerajaan Melayu Lama > dari Palembang sebelum muncul di  Melaka pada zaman keagungan di Kepulauan Melayu. Pemakaiannya tidak berkembang di Tanah Melayu dan Sumatera sahaja malah ke Brunei dan Sulawesi.

Istilah baju kurung juga sudah di sebut dalam teks Melayu Klasik. Buku ini menampil data rujukan teks (Sejarah Melayu, Hikayat Hang Tuah, Hikayat Pasai-Aceh, Misa Melayu, Salasilah Melayu Riau dll)...dan kajian bandingan etnografi  di beberpa wilayah Melayu Nusantara. 

Terbitan UKM, 2006 - 2006 -2008 @ RM 60
untuk mendapatkan buku ini boleh emek ke > galerimelora@yahoo.com/perhatian Bulan Baiduri/fb 

Monday 12 September 2011

Friday 9 September 2011

LAMBANG SARI


TAHUN  1980han setiap Universiti di tanah air akan memilih setiap hasil seni budaya Melayu sebagai anak angkat ilmu kampus masing-masing. Hasil sepakatan antara universiti maka Seni Gamelan menjadi bahan penyedilikan UKM; Gambus dan Zapin, Unversiti Malaya dan Makyong, kajian Universiti Sains Malaysia.

Maka pada tahun 1983, UKM pun memulakan penyelidikan dalam semua aspek kesenian gamelan. Antara pengkaji yang terlibat ;
Dr Harun Mat Piah - Sejarah Gamelan (ketua projek)
Inon Shaharudin - Aspek sastera rakyat
Shafie abu Bakar - Proses membuat set gamelan Trengganu
Siti Zainon Ismail - Gerak tari dan busana.
Wan Yahya - Latihan gerak tarian
Bob Khalil - Notasi muzik

Hasil penyelidikan itu pun dilakukan untuk menjadi data kertas kerja sempena Simposium Gamelan  Malaysia dengan kerjasama Kementerian  Kebudayaan dan Kesenian (1986)
Beberapa tahun kemudian kamipun menyusun kajian ini dan menerbitkan buku Lambang Sari Tari Gamelan Trengganu.

Kepada yang terlibat menyumbang idea, sokongan data terutama Pak Mat , Mak Nang, dan ahli Kesenian Setiausaha Kerajaan Negeri  juga penaja percitakan KSU Trengganu kami merakam ucapan terima kasih.... 
 .  
BBB
10 September 2011

BEKERJA DENGAN PENGURUS PROJEK BANGSA ASING

MR MARTIN  CROSS ialah Pengurus Projek  penerbit Didier Miller,  terbitan besar mereka yang berpusat di Kuala Lumpur dan Singpura yang menerbitkan  The Encyclopedia of Malaysia. Saya terlibat dalam menyediakan dua bab: 1)  Textile and Embroidery dalam Crafts and the Visual Art; 2) Islamic Dress dalam Religions and Belief.Yang ingin saya catat di sini ialah cara Martin 'mengejar saya' melalui emel. Satu ayat, satu perkataan salah eja, harus dibetul cepat. Emelnya tiba dari London dari Paris...hanya untuk bertanya ejaan. 'baju kurung? baju kurong?'  Begitu juga pemilihan gambar ilustrasi selalu dirujuk kepada penulis. Hasilnya memang memuaskan. Hati lapang, kerana ejaan dan gambar selalu dapat ditangkap dengan cepat oleh editor juga  penyusun rekabentuk buku. 

Bila tiba pelancaran oleh PM Mahathir, kami semua dijemput hadhir. Editor sudah menyenarai  nama penulis ,  tempat duduk..wah dengan gembira kami pun datang hendak masuk ke ruang ..tapi penyambut tamu melarang kami duduk di tempat yang disediakan. " Itu untuk tamu khas " .Kamipun berdiri ternganga termasuk Allahyarham Datuk Syed Ahmad Jamal, Allahyarham Datuk Kassim Ali...rupanya kerana buku itu dalam bahasa Inggeris, tidak terbayangkan penulisnya BANGSA MELAYU ...kerana penyambut tamu itu bukan dari kakitangan Didier Miller - mereka tidak pula menyemak kad undangan yang kami bawa...kamipun berdirilah setengah kecewa. Bila PM datang melihat kerusi sebaris kosong, nampak pula Datuk Syed Ahmad Jamal berdiri, beliau sendiri melambai, minta kami maju ke kerusi yang kosong. Penyambut tetamu si perempuan Melayu ternganga , tersengih malu, minta kami ke depan. Tapi Datuk Kasim menarik tangan saya sambil mengomel,  "  Kita protes, ayuh cepat keluar " . Saya terherat keluar....tidak melihat lagi acara meriah itu.....

(Nota Kenangan)
BBB
10 September 2011

Monday 5 September 2011

NOTA PENGHARGAAN KAJIAN SENIMAN NEGARA KHATIJAH AWANG

Pusara Khatijah Awang di Jalan Bayam Kota Bharu-Al Fatehah

KAJIAN CUTI SABATIKAL  M/3/99-UKM

LAPORAN kajian cuti sabatikal ini berjudul Khatijah Awang Ratu Seni Tradisional: Kajian Biografi Seni- memapar kehidupan seorang seniman makyung serta likuan hidupnya sebagai seorang seri panggung, primadona dan Seniman Negara. Pengkaji merakam ucapan  kasih kepada semua informan, ahli keluarga, pemuzik, penari dan kerabat makyung Kumpulan Budaya Seri Temenggung, juga sahabat seniman beliau yang terlibat  memberi sumber dan data lisan.
Khatijah Awang sendiri adalah tokoh yang turut memberi inspirasi pengkaji untuk terus tekun  mengikuti acara kegiatan seharianya serta tidak keberatan memberi data rujukan  penting yang berada  dalam simpanannya.
Ucapan terima kasih juga kepada UKM kerana telah meluluskan cuti sabatikal selama sembilan bulan dan bantuan kewangan penyelidikan lapangan. Semoga hasil kajian ini turut  memberi manfaat kepada perkembangan kesenian Melayu .
Data kajian dalam bentuk lakaran ketika memerhati
gerak sembah tari makyung

Prof Dr Siti Zainon Ismail
UKM 2000
______
Laporan ini telah disunting untuk terbitan dan telah diserahkan kepada  Akademi Seni Warisan pada tahun 2006 yang lalu...semoga penerbitan tidak tergendala atau tertangguh lagi !


NOTA PENYELIDIKAN PAKAIAN CARA MELAYU


PENYELIDIKAN  Pakaian Cara Melayu (kajian Ph.D, 1985-1990) bermula dengan kajian pustaka sebelum masuk ke kajian lapangan. Teks Sastera Klasik digunakan bagi mengenal pasti konsep, pandangan dan reka bentuk pakaian, tekstil yang digunakan.

Antara teks Sastera Melayu Klasik yang dipilih
ialah: Sejarah Melayu, Hikayat Hang Tuah, Misa Melayu, Hikayat Pasai, Hikayat Aceh, Salasilah Melayu dan Bugis, Hikayat Kelantan, Hikayat Patani disamping teks sejarah lainnya Sejarah Pahang, Johor, Kelantan, Selangor,Perak dll.

Sumber teks sastera klasik ini dibandingkan dengan perbagai bentuk tulisan kreasi klasik termasuk pantun, syair, guridam dsbnya.
                                           Baju kurung Johor-Riau, kain ikat ombak mengalun
                                                       kain tenunan songket Kelantan, Selendang
                                                       kelengkan/selayah/mantul  Pulau Bulang
                                                       koleksi Galeri Melora 1986


Dengan sumber asas ini, pengkaji cuba membangun imaginasi kreatif untuk melakar pemerian yang sudah dikutip dari sumber teks kajian. Maka dilakarlah sketsa aneka busana Melayu klasik dan diperikan dengan puisi  sebagai hasil temuan kajian yang masih boleh diuji oleh para Sarjana  selanjutnya. InsyaAllah , silakan...

6 Sepetember 2011

Sunday 4 September 2011

NOTA PENGHARGAAN 2

Buku:  Tektil Tenunan Melayu, DBP, 1997 (Kajian sebahagian tesis Ph.D, 1985-1990)
...
Melalui pandangan Prof. Dr Mohd Taib Osman, tutur bicara  Hajah Minah Pelangi (Trengganu), Hajah Siti Riduah (Batu Sangkar), Puan Azah Aziz, Puan Zubaidah Sawal, Maisara, June (K.Lumpur), Delphine Saba (London) Ayahanda Prof Ali Hasjmy (NAD), Pak Nik Man (Bomoh Diraja Kelantan),  Pak Boestami (Museum Adityawarman Padang), Pak Koesnadi (Jakarta), Pak Nasir (Museum Jambi), M Fadhil dan  M Yamin , Wan Yahya (Bangi), serta Zaiton Ajamain (Sabah), maka terhimpunlah sejumah bahan tentang tekstil tenunan Melayu.
...
                                     Sarung tenunan asal Bugis, koleksi Galeri Melora 1986

Beberapa institusi yang menyokong kerja penyelidik antaranya ialah UKM, DBP, Muzium Negara, Lembaga Muzium Negeri Kedah/Kelantan/Trengganu/Pahang/Sabah dan Sarawak/ Museum Adityawarman, Padang, Museum Sumatera Selatan,Palembang/ Museum Jambi/Museum La Galigo, Sulewesi/Pusat Kesenian dan Kraftangan Brunei Darussalam dan Victoria and Albert Museum, London...
...Jasa anda semua amat dihargai  hanya Allah swt juga yang mencatatNya.
Amin.

5 September 2011

NOTA PENGHARGAAN 1

Buku Rekabentuk Kraftangan Melayu Tradisi,DBP 1986 (kajian/tesis Sarjana UKM 1976-1979):
...
Ucapan terima kasih yang tidak terhingga saya tujukan kepada Prof Dr Muhammad Haji Salleh, pensyarah di Jabatan Persuratan Melayu, UKM dan Prof Dr Mohd Taib Osman dari Fakulti Sains Sosial , UM. Bimbingan , fikiran, pandangan panduan, saranan dan teguran yang membina dari mereka.
...
Tidak lupa juga kaki tangan Perpustakaan UKM..pihak Muzium Negara, Muzium Seni Asia, Muzium Seni Negara, Muzium Taiping dan Muzium Pekan, Pahang.
...
Prof Dr Mohd Taib Osman mendoakan semoga sehat walafiat.

Rakaman terima kasih kepada beberapa  orang informan, antaranya ialah Hajah Ngah Taib di Kampung Losong Datok Amar K.Trengganu; Hajah Rokiah Mahmud di Kampung Penambang, Kota Bharu; Hajah Zabedah Ibrahim, Kampung Belanja Kiri, Parit Perak; Puan Hasnah Adnan di Sayong, Puan Hawa Ngah Salam di Kampung Pulau Tiga, Perak...
Sokongan kerja Anda semua amat saya hargai hingga ke Akhir Hayat. Kepada yang telah mendahului kami saya ucapakan Al Fateha, semoga ruhmu ditempatkan yang mulia di SisiNya. Amin. 

5 September 2011